Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
aku kira Ahmad Yassin akan menangis
(andai kata dia masih lagi hidup kini)
dari celah kelopak matanya yang buta
bukan pada darah yang mengalir basah
bukan pada ratapan doa, anak dan isteri
Ahmad Yassin pasti mengalirkan air mata
melihat, bagaimana kita; ummah nusantara
memandang tanpa berbuat apa-apa
mendengar dan berdiam cuma
pada potret kemusnahan satu bangsa
Melayu Patani, yang maruahnya kini
sedang dipijak-pijak dengan kaki
aku kira Ahmad Yassin akan menutup
telinganya yang pekak kurang mendengar
kerana sudah tidak mampu tertahan
pada suara gamat yang kedengaran
bukan oleh dentuman bedil atau bom kawalan
bukan pula oleh rayuan imam memohon simpati
yang lama terseksa di kem tahanan
Ahmad Yassin pasti tidak mampu tertahan
pada kita, yang asyik bergelojak gembira
di saat jiran kita, yang hanya terpisah sempadan
Isteri hilang suami anak yang hilang bapa
bapa hilang anak, pewaris cita-cita masa depan
kakak hilang segala-galanya, semua sanak saudara
aku kira Ahmad Yassin mampu berdiri
menahan geram walau kakinya tak berkuasa
saat bangsa muslim lainnya bebas merdeka
sedang mewar-warkan kemegahan negara
mencita-citakan kemodenan segala
mereka lupa pada Muslim Pattani
yang jaraknya sejengkal cuma
satu aqidah, satu bangsa, satu bahasa
satu ummah dengan negara merdeka
Malaysia – Brunei - Indonesia
ketika saudara mereka Pattani
ditembak tika menjejak tangga masjid
dihalau dinafi dibumi sendiri
ditangkap tanpa sebab dan alasan
aku kira Ahmad Yassin akan melaung
dari kekuatan suara yang entah dari mana
kamu bangsa-bangsa Melayu Nusantara
memaki Kebodohan bangsa Arab
yang menjadi boneka pada Yahudi
yang meratah bangsa kami Palestin
namun ketika bangsa Pattani
terseksa, dizalimi, hilang arah
kamu menjadi buta - hati dan mata
sesungguhnya aku mungkin buta mataku
namun kamu telah buta hatimu
malangnya Ahmad Yassin sudah tiada
maka mata kita yang buta atau pejam
telinga kita yang tuli atau pekak
mulut kita yang bisu atau kelu
dan segala yang tiada daya pada kita
pastinya gagal berbuat apa-apa
pada sebuah potret kemusnahan
satu ummah, satu bangsa, satu bahasa
satu akidah dan agama dengan kita
Pattani, sebuah Palestin di nusantara
Semoga Allah memberkatimu, Pattani..
sumber:www.kongsicerita.com
0 Hamba Allah tinggalkan jejak :):
Post a Comment